Wednesday, July 30, 2008

Nik Aziz: Hudud, qisas jika PAS-Umno bersatu

Pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas menjadi satu daripada cadangan bagi PAS jika pergabungan antara parti itu dan Umno menjadi satu realiti, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun, bagi Menteri Besar Kelantan itu, cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam, akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru. Sejajar dengan semangat muqabalah untuk membincangkan masa depan umat Islam di negara ini, beliau berkata perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kerjasama Umno-PAS dalam membentuk parti baru perlu berlandaskan kepada Islam, termasuk melaksanakan hukum Hudud sebagaimana ditetapkan oleh agama. "Yang membimbangkan saya bila kerjasama itu berlaku, ada pihak yang cuba mensabotajkan parti (gabungan PAS-Umno) dengan menganjurkan calon bebas yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Islam mengikut syariatnya bagi melawan calon kita," katanya dalam laporan Bernama. Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen derma bagi kerja-kerja mengubahsuai masjid Baraah di pusat bandar Kota Bharu hari ini. Nik Aziz berkata berlandaskan semangat demokrasi di negara ini, semua pihak termasuk Umno, kaum Cina dan India boleh mengadakan perbincangan serta mengeluarkan hujah mereka untuk lebih memahami Islam dan syariatnya. "Saya hendak benar kalau orang Cina dan India kata dia tidak mahu kepada Islam. Di mana tidak kena dengan Islam, boleh tolong beritahu, kita boleh berbincang" katanya. Namun, katanya, bagi beliau perkara yang paling penting adalah memastikan muqabalah antara PAS dan Umno dapat dijayakan terlebih dahulu untuk membincangkan masa depan umat Islam. Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang menawarkan kepada PAS untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam, Nik Aziz berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur esok.
www.malaysiakini.com/bm

Cadangan Bubar Umno Dan Pas Akan Dibawa Ke Muktamar Pas - Nik Aziz



Cadangan Bubar Umno Dan Pas Akan Dibawa Ke Muktamar Pas - Nik Aziz


KB: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan beliau supaya PAS dan UMNO dibubarkan bagi membentuk satu parti baru akan dibawa ke Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos depan.
Menteri Besar Kelantan itu berkata ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada perwakilan PAS dari seluruh negara berhubung cadangan itu.
“Kita akan bawa usul ini ke muktamar dan saya juga akan menjawab sebarang persoalan berkaitan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Indusri Halal Nasional, di sini, Ahad.
Semalam, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya kedua-dua parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.
Beliau berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.
Nik Abdul Aziz berkata kesediaan PAS itu adalah sebagai bukti bahawa parti itu bukan sahaja mahu menjaga ketuanan Melayu tetapi juga agama Islam yang turut dianuti oleh bangsa lain.
“Perjuangan PAS sememangnya sudah berlandaskan Islam, tetapi kita tetap bersedia untuk bubarkan parti kerana kita tidak mahu UMNO kecil hati jika hanya parti itu dibubarkan.
“Kalau sudah dua-dua bubar, kita bina parti baru berteraskan Islam,” katanya.
Pada 23 Julai lepas, Nik Abdul Aziz berkata isu “muqabalah” atau perbincangan secara bersemuka akan turut dibincangkan pada muktamar itu.
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=348822

Nik Aziz syor tubuh parti baru ganti Umno, Pas



Nik Aziz syor tubuh parti baru ganti Umno, Pas

MACHANG: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengesyorkan supaya diwujudkan satu parti baru yang menggabungkan semua orang Melayu, supaya parti berkenaan boleh diterima ahli Umno dan Pas. Bagaimanapun, katanya, penubuhan parti baru itu hendaklah berasaskan kepada syarat yang parti berkenaan hendaklah berlandaskan Islam. "Bubar Umno dan Pas, kita buat parti lain yang boleh diterima belaka (semua orang Melayu) tetapi syarat dasarnya hendaklah Islam.
"Kalau Islam tidak boleh diterima, beritahu tak kena di mana Islam. Kalau dia (Umno) boleh cakap Islam tak betul, saya pun tak mahu Islam, tapi kalau Islam betul, saya nak tinggal Islam tak boleh," katanya. Beliau memberitahu media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan kali ke-37, di markas Dewan Ulama (Madu), Machang, dekat sini, semalam. Hadir sama, Ketua Dewan Ulama Pusat yang juga Ketua Dewan Ulama negeri, Datuk Mohamed Daud Iraqi.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kemungkinan isu politik juga akan dibincang dalam muqabalah nanti antara Umno dengan Pas. Nik Abdul Aziz berkata, satu daripada syarat hendak muqabalah dengan Pas ialah mencari jalan untuk menjadikan orang Melayu berada dalam satu parti. Katanya, beliau masih bertegas tidak ingin babitkan politik dalam muqabalah itu nanti, namun boleh dibincangkan jika ia membabitkan mengenai Umno hendak masuk Pas. "Satu daripada jadual (syarat) nak muqabalah ialah bagaimana biar Melayu ini so yah (satu saja) parti, Umno masuk Pas," katanya.
Sementara itu, Mohamed Duad berkata, Melayu sekarang berada dalam keadaan tersepit sehingga turut memberi kesan kepada Islam. "Perpecahan itu sudah ada dalam Melayu menyebabkan bangsa ini kini tersepit dan bila Melayu tersepit, Islam pun akan tersepit. Oleh itu, muzakarah antara Pas dengan Umno penting untuk umat Islam," katanya.

Biodata Tok Guru Nik Aziz




BIODATA TOK GURU NIK AZIZ


SALASILAH TOK GURU:-

Nik Abd Aziz ---------> Nik Mat (Raja Mohammad) -----------> Raja Banjar ------> Raja Majam X Raja Abdullah ---------> Raja Kechik ---------> Raja Mohammad --------> Raja Abdullah ---------> Raja Abdul Rahman (Raja Mir) ---------> Raja Dewi X Raja Kecil Sulong (Raja Jembal VI (T.M:1721-1725)) ---------> Raja Sungai ---------> Raja Sakti X Puteri Mani Kemeyan (Raja Jembal (Sultan Kelantan IV (T.M: 1638-1649)) ---------> Raja Gombak (Sultan Kelantan III) ---------> Sultan Mansur Shah (Sultan Kelantan II) ---------> Sultan Iskandar Shah (Sultan Kelantan I) ---------> Radin Mas Aria DiGunung (Sultan Baki Syah) ---------> Raja Bharubbasa (Sultan Mahmud (Raja Lankasuka)) ---------> Raja Tilam (Raja Sang Tawal) ---------> Raja Sakranta (Maharaja Jawaka) ---------> Raja Surendra (Maharaja Suran) ---------> Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhushana Warma Dewa (Brahma) DISUSUN OLEH: UNIT SALASILAH BAHAGIAN PENYELIDIKAN DAN DOKUMENTASI JABATAN PUSAT SEJARAH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM. September 1997 Nama: Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tahun Lahir: 1931 Tempat Lahir: Pulau Melaka Pendidikan: • Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan). - 1936 • Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian. • Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu. • Universiti Deobond, India – 1952. • Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran – 1957. • Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. • Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam. Pekerjaan: • Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor. • Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka. • Penyelia Kelas Dewasa – KEMAS. • Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu. Politik: • 1967 – Daftar sebagai ahli PAS. • 1967-1969 -Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir. • 1969-1974 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir. • 1974-1978 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa). • 1978-1982 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. • 1982-1986 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. • 1986-1990 – Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan. • 1990-Sekarang – Menteri Besar Kelantan. Kesimpulan Jawatan Politik: 19 Tahun Sebagai Ahli Parlimen. 4 Tahun Sebagai Ahli DUN. Hingga Sekarang Beliau Telah Berkhidmat Sebagai Menteri Besar Kelantan Selama 16 Tahun. Hingga Sekarang Beliau Telah Berkhidmat Sebagai Wakil Rakyat DUN dan Parlimen Selama 39 Tahun.

Bodata Tuan Guru Nik Abdul Aziz-Bahasa Inggeris




Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat was born in Kelantan in 1931. He started his education in Malay and Arabic. Upon completing his secondary education, he continued his studies at Deoband (Darul Ulum), India and obtained a Master Degree in Arts (M.A) in Islamic Law and Judiciary from al-Azhar University in Cairo.
Before venturing into full-time politics, he served as a religious teacher at Ma'ahad Muhammadi, Kota Bharu and also as freelance preacher. He became active in politics in 1967, and in successive General elections since 1969, he has won the state Legislative Assembly seat at Semut Api. He retained the seat in 1990, and when PAS captured Kelantan, he was sworn-in as the Menteri Besar of Kelantan on 23 October 1990.
He is the PAS state Commissioner and Chairman of the National PAS Religious Council (Dewan Ulama') until 1995, and now he is the General Adviser (Mursyidul Am) PAS. A Simple man, he is popularly known among both kampung and townfolks alike as "Tuan Guru" and he never stopped giving weekly Friday sermons since 1969 until 1978, and since 1990 till now.
Tuan Guru is married to Datin Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak and they are blessed with 10 children, five boys and five girls.
He attends the conference of Rulers in his capacity as Menteri Besar accompanying HRH Al-Sultan Kelantan

Biodata Tuan Guru Nik Abdul Aziz


Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat telah dilahirkan di Kelantan pada tahun 1931. Beliau memulakan pendidikan dalam Bahasa Melayu dan Arab. Selepas menamatkan pendidikan menengah, beliau menyambungkan pelajaran di Deoband (Darul Ulum), India dan memperolehi Master Degree in Arts (M.A) dalam Perundangan Islam dan Kehakiman dari Universiti al-Azhar di Kaherah.
Sebelum menceburkan diri dalam bidang politik secara sepenuh masa, beliau telah berkhidmat sebagai seorang guru agama di Ma'ahad Muhammadi, Kota Bharu dan juga sebagai pendakwah bebas. Beliau menjadi aktif dalam politik pada tahun 1967, dan dalam Pilihanraya Umum semenjak tahun 1969, beliau telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri di kawasan Semut Api. Beliau retained kerusi tersebut pada 1990, dan bila Pas menawan Kelantan, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 23 Oktober 1990.
Beliau adalah Pengerusi dan Pesuruhjaya PAS negeri bagi Dewan Ulama' PAS Kebangsaan hingga 1995, dan sekarang beliau adalah Penasihat Umum (Mursyidul Am) PAS. Seorang yang sederhana, beliau lebih dikenali di kalangan penduduk kampung dan bandar sebagai "Tuan Guru" dan beliau tidak pernah berhenti memberikan Kutbah Jumaat serta ceramah-ceramah dari 1969 hingga 1978, dan semenjak 1990 hingga sekarang.
Tuan Guru telah berkahwin dengan Datin Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak dan mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima orang lelaki dan lima orang perempuan.
Beliau menghadiri perhimpunan Majlis Raja-raja sebagai Menteri Besar menemani Al-Sultan Kelantan.


Biografi Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz



BIOGRAFI TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Ulama Dan Tokoh Politik Tanahair Yang Komited


Tenang, warak, penyabar dan pemurah adalah merupakan ciri-ciri utama yang terkandung di dalam peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang ke-5.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara ini.
Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di ufuk kenyataan hidup. Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini.
"Semacam ada persafahaman antara para malaikat di langit dan para pengundi di bumi," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika mengulas kemenangan PAS dan Angkatan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu.
Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru sahaja jatuh ke tangannya itu. Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina telah diperkenalkannya.
Beliau memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk Tabung Kewangan PAS Negeri Kelantan. Beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya. Beliau memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan. Dan beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.
Ketaralah, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.
Ahli Parlimen Yang KomitedSebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam akhbar-akhbar utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio. Hal ini dapat difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting di negara ini berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional.
Dikagumi Kawan Dan Lawan
Kemudian dalam pilihanraya umum yang berlangsung pada 21 Oktober lalu, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sekali lagi memenangi kerusi DUN Semut Api. Beliau mengalahkan calon BN, Haji Wan Muhammad Wan Yusof dengan mendapat kelebihan undi sebanyak 6,993. Suatu pencapaian yang paling tinggi sekali di kalangan para ADUN yang lain! Sekaligus membuktikan kewibawaan dan kepopularan beliau yang tidak boleh disangkal lagi!.
Selain dari menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Beliau adalah satu-satunya tokoh ulama yang paling dihormati dan disegani , digeruni dan dikagumi baik oleh kawan mahupun oleh lawan.
Kini suasan politik di negeri Serambi Mekah ini kelihatan begitu tenang dan mantap. Rakyat merasa lebih bebas dan lebih selesa hidup di bawah pemerintahan Islam pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Mungkin juga berkat kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang selama ini memang terkenal sebagai seorang ulama yang warak dan kuat beribadat.
Latarbelakang Keluarga Dan PendidikanDilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu pada tahun 1931, Tuan Guru Haji Abdul Aziz telah mempelajari ilmu agama sejak alam kanak-kanak lagi. Mula-mula beliau belajar dengan ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat, juga seorang guru agama dan ulama yang terkenal di kampungnya pada masa itu.
Kemudian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melanjutkan pula pengajian agamanya di pondok Tuan Guru Haji Abbas di Jertih, Terengganu. Selepas beberapa tahun mendalami ilmu agama dengan Tuan Guru Haji Abbas, beliau berangkat ke India untuk melanjutkan pengajiannya di sana pula.
Setelah tamat pengajiannya di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berangkat pula ke Mesir. Di Mesir beliau memasuki Universiti Al-Azhar di dalam jurusan bahasa Arab. Setelah memperolehi ijazah Sarjana Muda di dalam Pengajian Arab, Tuan Guru Haji Nik Aziz meneruskan lagi pengajiannya di universiti yang sama di dalam jurusan perundangan Islam. Beliau lulus pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana iaitu M.A. di bidang perundangan Islam.
Pulang Ke TanahairSetelah dadanya diisi dengan ilmu agama secara mendalam, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kembali semula ke tanahair. Di tanahair beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah agama rakyat di samping mengajar agama di kelas-kelas dewasa pada sebelah malamnya. Beberapa tahun kemudian beliau mengajar pula di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Kota Bharu – sebuah sekolah menengah agama aliran Arab yang tertua dan terbesar di negeri Kelantan.
Dalam masa yang sama, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menceburkan dirinya di dalam kegiatan-kegiatan dakwah. Beliau menyampaikan ceramah-ceramah agama di pelbagai tempat khususnya di Masjid Kampung Pulau Melaka – kampung tempat beliau dilahir dan dibesarkan!.
Dari semasa ke semasa namanya semakin terkenal. Murid-muridnya semakin bertambah ramai. Imejnya sebagai seorang tokoh ulama yang disegani dan dikagumi ramai semakin menonjol. Pengaruhnya semakin meluas. Kewibawaaannya semakin mendapat pengiktirafan umum.
Ceburi Bidang PolitikOleh kerana agama dan politik itu saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan, maka Tuan Guru akhirnya telah menceburkan dirinya di dalam kegiatan politik tanahair. Beliau memilih PAS oleh kerana parti itu memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini.
Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan agama.
Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Azizl mula menyertai PAS. Dalam tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu.
Sejak itu hampir setiap kali pilihanraya, beliau sentiasa memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Malah Pengkalan Chepa telah muncul sebagai kubu PAS dan sejak dahulu hingga sekarang kerusi Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah dapat ditawan oleh UMNO atau BN.
Mengetuai Dewan Ulama PAS PusatMemandang kepada ketokohan dan kewibawaannya sebagai seorang ulama, beliau telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PAS untuk mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat mulai akhir tahun 1960an.
Selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering mengingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam di negara ini agar mematuhi kesemua ajaran Rasulullah SAW. Bukannya mengambil bahagian-bahagian tertentu dan membuang bahagian-bahagian yang lain yang dirasa bercanggah dengan kepentingan peribadi.
Alam RumahtanggaTuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak kira-kira 30 tahun yang lalu. Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak – 5 lelaki dan 5 perempuan. Salah seorang (yang sulung) daripada mereka – Noor Aini namanya – kini bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah Maktab Perguruan di Kuala Lumpur.
Kerajaan MisaliSelaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak – dalam dan luar negeri – Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.
Di sinilah – di Dewan Zulkifli Muhammad inilah – ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang mereka kasihi dan hormati itu.
Dengan kesungguhan, keberanian dan komitmen yang total, kita yakin kerajaan Angkatan di negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berjaya menegakkan sebuah kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah ini. Dan kerajaan Islam Serambi Mekah ini, insya Allah akan menjadi sebuah kerajaan Misali yang akan menjadi panduan dan rujukan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain di negara ini khasnya dan kepada kerajaan-kerajaan Islam di luar dari negara ini amnya.
LOTFI ISMAIL