Wednesday, July 30, 2008

Nik Aziz syor tubuh parti baru ganti Umno, Pas



Nik Aziz syor tubuh parti baru ganti Umno, Pas

MACHANG: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengesyorkan supaya diwujudkan satu parti baru yang menggabungkan semua orang Melayu, supaya parti berkenaan boleh diterima ahli Umno dan Pas. Bagaimanapun, katanya, penubuhan parti baru itu hendaklah berasaskan kepada syarat yang parti berkenaan hendaklah berlandaskan Islam. "Bubar Umno dan Pas, kita buat parti lain yang boleh diterima belaka (semua orang Melayu) tetapi syarat dasarnya hendaklah Islam.
"Kalau Islam tidak boleh diterima, beritahu tak kena di mana Islam. Kalau dia (Umno) boleh cakap Islam tak betul, saya pun tak mahu Islam, tapi kalau Islam betul, saya nak tinggal Islam tak boleh," katanya. Beliau memberitahu media selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan kali ke-37, di markas Dewan Ulama (Madu), Machang, dekat sini, semalam. Hadir sama, Ketua Dewan Ulama Pusat yang juga Ketua Dewan Ulama negeri, Datuk Mohamed Daud Iraqi.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kemungkinan isu politik juga akan dibincang dalam muqabalah nanti antara Umno dengan Pas. Nik Abdul Aziz berkata, satu daripada syarat hendak muqabalah dengan Pas ialah mencari jalan untuk menjadikan orang Melayu berada dalam satu parti. Katanya, beliau masih bertegas tidak ingin babitkan politik dalam muqabalah itu nanti, namun boleh dibincangkan jika ia membabitkan mengenai Umno hendak masuk Pas. "Satu daripada jadual (syarat) nak muqabalah ialah bagaimana biar Melayu ini so yah (satu saja) parti, Umno masuk Pas," katanya.
Sementara itu, Mohamed Duad berkata, Melayu sekarang berada dalam keadaan tersepit sehingga turut memberi kesan kepada Islam. "Perpecahan itu sudah ada dalam Melayu menyebabkan bangsa ini kini tersepit dan bila Melayu tersepit, Islam pun akan tersepit. Oleh itu, muzakarah antara Pas dengan Umno penting untuk umat Islam," katanya.

No comments: