Wednesday, July 30, 2008

Cadangan Bubar Umno Dan Pas Akan Dibawa Ke Muktamar Pas - Nik Aziz



Cadangan Bubar Umno Dan Pas Akan Dibawa Ke Muktamar Pas - Nik Aziz


KB: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan beliau supaya PAS dan UMNO dibubarkan bagi membentuk satu parti baru akan dibawa ke Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos depan.
Menteri Besar Kelantan itu berkata ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada perwakilan PAS dari seluruh negara berhubung cadangan itu.
“Kita akan bawa usul ini ke muktamar dan saya juga akan menjawab sebarang persoalan berkaitan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembangunan Indusri Halal Nasional, di sini, Ahad.
Semalam, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya kedua-dua parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.
Beliau berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.
Nik Abdul Aziz berkata kesediaan PAS itu adalah sebagai bukti bahawa parti itu bukan sahaja mahu menjaga ketuanan Melayu tetapi juga agama Islam yang turut dianuti oleh bangsa lain.
“Perjuangan PAS sememangnya sudah berlandaskan Islam, tetapi kita tetap bersedia untuk bubarkan parti kerana kita tidak mahu UMNO kecil hati jika hanya parti itu dibubarkan.
“Kalau sudah dua-dua bubar, kita bina parti baru berteraskan Islam,” katanya.
Pada 23 Julai lepas, Nik Abdul Aziz berkata isu “muqabalah” atau perbincangan secara bersemuka akan turut dibincangkan pada muktamar itu.
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=348822

No comments: